PROGRAM JAULAH KE SINAI PERGIM

30 Nov 2009, Isnin

Pada pukul 10.30 malam, kami berkumpul di markaz AQ. Di sini, telah diadakan sesi taklimat oleh program coordinator iaitu saudara Dhiyauddin Athir bin Nadzari. Selepas sesi taklimat tersebut, satu modul telah dijalankan iaitu ‘Lukisan Minda’. Di dalam modul tersebut, peserta diminta untuk melukis wajah diri sendiri,wajah rakan2 dan perkara yang paling disukai di bumi ini. Antara objektif yang boleh diambil daripada modul tersebut adalah untuk menerangkan betapa di dunia ini tiada manusia yang sempurna dan setiap insan mempunyai pandangan yang berbeza bagi setiap perkara. Oleh itu, kami dinasihatkan untuk saling menghormati pandangan rakan-rakan lain sepanjang kembara. perbanyakkan muhasabah dan sentiasa perbaiki kesalahan lalu. Di samping itu juga objektif daripada modul ini adalah untuk merapatkan ukhuwah sesama peserta. Selepas selesai modul tersebut, kami terus bersiap untuk ke bertolak Sinai.

1 Disember 2009 ,Selasa

Bertolak dari markaz pada pukul 1.20 pagi. Perjalanan dimulakan dengan bacaan umul kitab Al-Fatihah,doa musafir dan istighfar serta selawat ke atas Nabi sebanyak 100 kali di imami oleh saudara Muhammad Adeeb bin Mohd Razeef. Setelah selesai bacaan doa, kami diberi waktu rehat yang panjang di dalam bas.

Setelah mengharungi perjalanan selama 7 jam dan 25 minit, akhirnya peserta selamat tiba di destinasi pertama kami iaitu Taba. Di sini lah tempat pertemuan sempadan empat buah negara iaitu Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Israel (laknatullah). Sebelum tiba di Taba, kami telah melalui beberapa tempat yang bersejarah seperti Jabal Tih iaitu suatu tempat di mana Allah telah menyesatkan kaum Nabi Musa A.S yang ingkar kepadaNya selama 40 tahun. Ketika di Taba kami telah menziarahi beberapa tempat bersejarah seperti kubu Salahudin Al-Ayubi di mana kubu tersebut telah digunakan ketika beliau mempertahankan Mesir dari serangan tentera Salib.

Setelah melawat kubu bersejarah tersebut kami menuju ke masjid yg berdekatan yakni Masjid As-Salam untuk bersarapan dan menjalankan modul yang seterusnya iaitu ‘Siapa Saya?’. Di dalam modul tersebut kami diminta untuk menulis mengenai latar belakang kehidupan sebelum dan sehinggalah tiba di Mesir. Di dalam modul tersebut peserta diminta untuk menulis dan mengimbau kembali latar belakang kehidupan mereka sebelum dan ketika mula-mula tiba di Mesir. Seterusnya, peserta diingatkan akan niat sebenar mereka mengikuti kembara ini, yakni bukan untuk melancong semata-mata, tetapi untuk mengambil iktibar dari hasil ciptaan Ilahi. Setelah tamatnya modul tersebut semua peserta bersiap untuk menuju ke destinasi kedua yang juga merupakan tempat penginapan kami iaitu di Saint Catherine. Di dalam perjalanan ke Saint Catherine, kami sempat menziarahi tempat-tempat bersejarah yang lain seperti batu yang berbentuk lembu yang dipercayai bayangan lembu Samiri dan makam Nabi Harun A.S. Setelah itu kami terus ke tempat penginapan masing-masing iaitu di Kem Sheikh Musa dan terus mengemas barang-barang di sana. Selepas itu peserta diberi masa untuk berehat sehingga ke petang bagi menghilangkan penat dan lelah.

Setelah selesai makan malam iaitu pada pukul 9 malam, modul yang seterusnya telah dijalankan iaitu ice breaking. Antara input yang dapat diambil dari modul tersebut ialah kepentinagn berukhuwwah dan bekerjasama. Di dalam modul tersebut juga telah diselitkan beberapa kisah pengorbanan para Nabi terdahulu seperti kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S berserta isterinya Hajar dan anaknya Nabi Ismail A.S dan kisah pengorbanan Nabi Musa A.S. Selepas itu, kami diberikan masa untuk berehat dan membuat persediaan untuk mendaki gunung Sinai.

2 Disember 2009, Rabu

Tepat jam 1.30 pagi, kami berkumpul dan bertolak ke kaki gunung Sinai dengan menaiki bas. Setelah sampai di sana, kami diberikan sedikit taklimat dan penerangan mengenai gunung Sinai dan dibahagikan kepada dua kumpulan untuk mendaki. Setelah itu peserta dilepaskan untuk mendaki.

Selepas 3 jam perjalan mengharungi laluan-laluan sukar, akhirnya kami berjaya menawan puncak gunung Sinai tepat pada pukul 5 pagi dengan izin-Nya. Apabila tiba di puncak, kami sempat berehat sambil menunggu masuk waktu solat subuh. Pada pukul 5.30 pagi kami menyempurnakan solat fardhu Subuh di masjid yang dibina di atas puncak tersebut secara berjemaah. Ada juga sebahagian daripada kami yang sempat melakukan sujud syukur di atas puncak bagi menunjukkan rasa kesyukuran dan kehambaan kepada Allah yang membantu memudahkan perjalanan kami ke sana. Ketika di atas puncak tersebut banyak kebesaran Allah yang dapat dilihat yang juga melambangkan keagunganNya dan kekuasaanNya seperti gunung ganang yang terbina daripada batu semata-mata dan keindahan ketika terbitnya matahari. Allahuakbar! Segala puji hanya bagi Allah.

Setelah beberapa jam berada di atas puncak, kami bersiap-siap untuk turun. Sebelum itu kami sempat bergambar bersama-sama sebagai kenangan menawan puncak gunung Sinai. Selepas bergambar bersama, kami memulakan perjalanan turun ke kaki gunung.

Selama 2 jam 30 minit telah diambil oleh kami untuk tiba di kaki gunung. Setelah tiba di kaki gunung, kami terus bergerak menaiki bas dan pulang ke tempat penginapan. Ketika di tempat penginapan kami diberi masa selama 1 jam untuk berehat dan berkemas untuk “check out” daripada tempat penginapan tersebut. Tepat pada pukul 11.30 pagi, tempat penginapan telah dikosongkan dan kami bergegas menaiki bas untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu di Dahab. Kami mengambil masa berada di dalam bas tersebut untuk berehat dan mengumpul kembali tenaga sepenuhnya setelah penat lelah seharian mendaki gunung Sinai.

Tepat jam 2 petang, kami selamat tiba di Dahab dengan selamat. Kami telah diberikan tempat penginapan masing-masing. Setelah selesai pembahagian bilik, kami diberi masa selama 2 jam untuk melakukan aktiviti bebas di kawasan itu. Ada sebahagian daripada kami yang menggunakan masa tersebut dengan meluangkan masa berjalan di tepi pantai melihat keindahan ciptaan Allah dan ada juga yang menggunakan masa tersebut untuk mengulangkaji pelajaran.

Pada jam 5.30 para kami menunaikan solat maghrib secara berjemaah di surau berdekatan. Setelah itu, satu tazkirah ringkas telah di sampaikan oleh Ust Muhammad Ali Ghadaffy berkenaan ‘kepentingan bersyukur’. Antara perkara penting yang harus kita syukuri di dunia ini adalah:

1. Bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang muslim dan mukmin.

2. Bersyukur kerana Allah telah menjadikan kita sebagai umat nabi Muhammad.

3. Bersyukur kerana Allah telah menutupi dan merahsiakan dosa-dosa kita selama ini.

4. Bersyukur kerana Allah telah menjadikan rezeki kita tidak diambil oleh orang lain.

Setelah selesai pengukuhan rohani, kami dihidangkan dengan makan malam dengan hidangan sup istimewa. Selepas selesai makan malam, satu modul telah dijalankan iaitu ‘debat kembara’. Antara objektif daripada modul ini adalah untuk melatih para peserta untuk bercakap di hadapan umum atau lebih dikenali sebagai public speaking dan kemahiran berfikir secara spontan.

Selepas selesainya modul tersebut, para peserta pergi menuju ke bilik masing-masing untuk berehat sambil menunggu ketibaan esok hari.

3 Disember 2009, Khamis

Hari ini merupakan hari ke-2 dan hari terakhir kami berada di Hotel Khattab,Dahab. Pada jam 4.00 pagi kami bangun untuk qiyamullail bagi yang sempat kemudian solat subuh berjemaah diikuti bacaan Al-Mathurat . Pada jam 6.30 pagi kami bersarapan pagi dan menguruskan diri untuk persiapan program seterusnya

Tepat jam 8.00 pagi satu program permainan telah di jalankan yang di ketuai oleh saudara Fathul Rahman Bin Mahkama, permainan ini dipanggil Permainan BOM, setiap kumpulan di kehendaki memilih satu nama tempat yang mereka suka, kumpulan satu memilih nama Bana, kumpulan dua memilih nama Dahab, kumpulan tiga memilih nama Giza dan kumpulan empat memilih nama Dumyat. Setiap kumpulan hendaklah berjaga-jaga dengan nama kumpulan yang akan di bom. Objektif permainan ini adalah untuk melatih setiap peserta agar sentiasa bersedia dengan cabaran yang datang tanpa diundang.

Pada jam 8.30 pagi pula satu lagi cabaran telah di jalankan yang di ketuai oleh program coordinator kami iaitu Dhiyauddin Athir Bin Nadzari. Cabaran ini dipanggil "Survival Cooking". Setiap kumpulan diberi sekotak jus, kemudian setiap kumpulan hendaklah bekerjasama memasak nasi menggunakan kotak itu berserta beras dan air (laut) yang disediakan. Setiap kumpulan bebas untuk menggunakan apa sahaja bahan di luar kawasan hotel untuk menghidupkan api dan memasak. Masa yang di beri untuk memasak bagi setiap kumpulan adalah dalam 35 minit dan markah tertinggi di beri kepada kumpulan yang berjaya menanak nasi dengan sempurna. Hakim untuk cabaran ini adalah Ust. Mohd Ali Ghadaffy iaitu salah seorang fasilitator kami ketika lawatan Sinai ini. Dalam cabaran ini kumpulan Giza iaitu kumpulan tiga, telah memenangi pertandingan kerana berjaya menanak nasi (berperisa jus epal) dengan baik. Objektif cabaran ini adalah untuk melatih para peserta bersikap kreatif dan bertolak ansur dalam melakukan aktiviti berkumpulan.

Di samping itu, peserta di dedahkan akan bagaimana askar-askar Islam pada zaman dahulu amat berhati-hati dalam setiap perkara agar tidak di kesan oleh pihak musuh. Bahkan menanak nasi juga diambil kira,untuk mengelakkan tercetusnya bunyi senduk dan periuk berlaga, mereka berjaya menghasilkan nasi beserta lauk yang dimasak tanpa menghasilkan bunyi. Cara hidangannya pula, menterbalikkan periuk serentak dengan bunyi kaki kuda skuad peronda musuh. Hidangan ini kekal sehingga kini, yakni ‘nasi maqlubah’. Situasi ini menggambarkan betapa bijak dan telitinya tentera islam dalam perjuangan mereka.

Cabaran Ini berakhir pada jam 11.30 pagi. Selepas itu kami di beri masa sehingga pukul 3.00 petang untuk makan tengah hari dan menguruskan diri kerana selepas itu kami akan ke Blue Hole untuk aktiviti snorkling.

Lebih kurang jam 3.30 petang truck yang mengangkut kami ke Blue Hole pun tiba. Sebuah truck disediakan untuk lelaki dan sebuah lagi truck disediakan untuk perempuan. Menaiki truck merupakan pengalaman paling menyeronokkan bagi kami semua kerana ianya merupakan pengalaman pertama bagi kami. Setibanya kami di Blue Hole, kami dikehendaki menyewa peralatan untuk snorkling yang bernilai L.E 25.00 seorang. Kami agak kecewa kerana ketika kami sampai hari mulai gelap, agak sukar untuk kami dapat melihat hidupan laut, tambahan lagi masa untuk kami snorkling juga terhad kerana hari mulai gelap. Kami pulang ke Hotel Khattab pada pukul 5.00 petang, setibanya di tempat penginapan kami menguruskan diri untuk persediaan malam aspirasi pula.

Malam aspirasi bermula pada jam 8.00 malam bersama-sama dengan aktiviti barbeque. Dua orang telah ditugaskan untuk menguruskan aktiviti barbeque iaitu saudara Ahmad Naim Bin Hussin dan saudara Mohd Syazwan Bin Abul Fuad manakala peserta yang lain berbincang mengikut kumpulan berkenaan persembahan yang bakal di persembahkan, dengan masa setengah jam diberi untuk sesi perbincangan. Tepat jam 9.00 malam waktu persembahan yang dinanti-nantikan pun bermula, kumpulan yang memberikan persembahan pertama adalah gabungan kumpulan Giza dan Dumyat, iaitu persembahan lakonan Sunyi Sepi, diikuti kumpulan Dahab, iaitu persembahan Wayang Kulit dan persembahan terakhir iaitu dari kumpulan Bana dengan persembahan lakonan Di Sebalik Tabir. Semua kumpulan telah bekerjasama memberikan persembahan yang menghiburkan pada malam aspirasi tersebut. Setelah selesai kami semua dijamu dengan makanan barbeque yang menyelerakan seperti ayam bakar, kentang, sosej, nasi goreng dan pudding caramel hingga membuatkan kami kekenyangan yang tidak terhingga.

Tepat jam 11.30 malam kami semua pulang ke bilik masing-masing untuk kembara mimpi dan mengumpul tenaga untuk aktiviti keesokan harinya.


4 Disember 2009, Jumaat

Selesai sahaja solat subuh dan sarapan pagi kami semua dikehandaki mengemaskan barang masing-masing untuk check-out dari hotel. Sebelum menaiki bas kami sempat mengambil gambar bersama-sama sebagai kenangan kami di Dahab.

Tepat jam 7.30 pagi perjalanan kami untuk ke Sharm el-Sheikh, Ras Muhammad, Hamam Fir’aun dan Telaga Musa pun bermula. Perjalanan dimulakan dengan bacaan doa oleh salah seorang pelajar ulum syariah tahun pertama yang juga turut menyertai lawatan ini iaitu saudara Mohd. Firdaus Bin Emir Sharifuddin.

Setibanya kami ditempat yang dinamakan Sharm el- Sheikh, kami dapat melihat keindahan kawasan yang membangun disitu, terdapat banyak hotel, pusat membeli-belah, juga yang mengejutkan kami terdapat banyak casino yang mewah di sini. Menurut pemandu bas kami di sini juga terdapat penduduk Israel yang menetap di Sharm el-Sheikh. Di Sharm el- Sheikh kami tidak turun untuk melawat, sekadar melihat pemandangan dari dalam bas sahaja memandangkan masa agak mencemburui kami.

Selepas melawat Sharm el- Sheikh perjalanan kami diteruskan pula ke Ras Muhammad, perjalanan kami mengambil masa yang agak lama, lebih kurang satu jam lebih. Sampai sahaja kami di Ras Muhammad dalam lebih kurang jam 10.00 pagi, kami terpegun dengan keindahan air lautnya yang jernih kebiruan sehingga boleh dilihat pasir yang putih di bawah air laut itu. Kami semua turun dari bas untuk mengambil peluang bergambar dan bermain air laut. Selain kami, terdapat juga pelancong-pelancong dari luar negara yang datang ke sini untuk bermandi – manda. Ras Muhammad merupakan tempat di mana bekas Perdana Menteri Mesir iaitu Annuar Sadat yang telah menjumpai tempat ini lalu menjadikan tempat ini sebagai tempat untuk beliau menenangkan fikiran.

Seterusnya kami meneruskan pula perjalanan kami ke Hamam Firaun. Menurut sejarah, Hamam Firaun adalah tempat Firaun mandi air panas. Air panas itu berpunca dari dalam gua yang menurut ahli geologi terdapat mendakan lava di bawah gunung, dan apabila air laut melalui mendakan lava itu, terhasillah air panas yang akan mengalir keluar dari dasar laut ke kaki gunung. Ramai pelancong datang ke Hamam Firaun untuk mengambil peluang mandi air panas ini. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk merasai kepanasan air panas semulajadi itu. Sungguh mengagumkan.

Di Hamam Firaun, kami juga sempat untuk berehat sebentar dan makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Lebih kurang jam 3.30 petang kami memulakan perjalanan ke Telaga Musa. Di sana kami dapat melihat sendiri sejarah pokok terbelah dua kesan dari sejarah Nabi Musa yang dikejar oleh orang kafir. Selain itu Telaga Musa juga merupakan kesan dari rentetan sejarah dimana Nabi memohon agar diberikan air untuk kaumnya. Menurut sejarah terdapat tujuh Telaga Musa tetapi ketika disana kami hanya berpeluang melihat dua sahaja telaga, sebelum pulang kami sempat mengambil gambar sebagai kenangan.

Lawatan kami selasai di Telaga Musa, dan tibalah masanya untuk kami pulang ke Kaherah. Perjalanan pulang kami bermula jam 4.00 petang . Dalam perjalanan pulang sedikit sesi ucapan daripada tiga peserta lawatan, dua orang fasilitator dan juga pengarah program berkenaan lawatan kami ke Sinai. Sebaik selepas melalui terowong Suez, modul ‘Siapa Saya?’ disambung semula bagi memperingatkan semula para peserta akan matlamat sebenar mereka, dan mengambil iktibar dari sepanjang kembara ini.

Pada jam 7.30 malam kami tiba di Markaz Akedemi Al-Quran, Kaherah. Kami semua bekerjasama memulang dan mengemaskan barang- barang yang di pinjam ke tempat asalnya. Setelah semuanya selesai kami semua dibenarkan bersurai dan pulang ke kediaman masing – masing dengan rasa gembira walaupun jelas kelihatan keletihan dari setiap muka kami.

Walaubagaimanapun, lawatan kami ke Sinai telah memberikan sejuta kenangan terindah buat kami,dengan adanya lawatan seperti ini kami dapat menimba ilmu serta iktibar dari setiap tempat yang kami lawati, pelbagai perkara dan sejarah yang menakjubkan telah kami pelajari dan kami lihat dengan mata kami sendiri kesan-kesan sejarah tersebut.

0 Komen: