Tempat: Markaz AQM, Hayyu 'Asyir, Kaherah
Tarikh : 10 Disember 2009
Hari: Khamis
Masa: 6.00 pm
Kehadiran: Semua ahli PERGIM
Hari Khamis bersamaan 20 Zulhijjah 1430 hijrah, pada hari ini satu perjumpaan PERGIM telah diadakan bagi meraikan malam kesyukuran sempena kejayaan menjayakan Program Jaulah ke Sinai pada 30 november 2009 sehingga 4 disember 2009.
Majlis bermula tepat pada pukul 6.00 petang pada hari itu. Pelajar-pelajar berkumpul di markaz seperti yang ditetapkan di dalam tentatif progaram. Apabila sampai dimarkaz, satu kejutan telah berlaku di mana satu revolusi telah berlaku pada landskap di markaz. Hampir kesemua pelajar terkejut dan terkesima pada waktu itu. Ini adalah suatu perkara yang amat sukar untuk dipercayai bagi kami.
"Seperti bulan purnama turun ke bumi di malam hari di Hayyu 'Asyir"
Itulah ungkapan yang boleh menggambarkan situasi pada ketika itu. Markaz AQ telah dihiasi dengan begitu indah sekali oleh pelajar-pelajar banat PERGIM. Di situ, terserlah lah segala kreativiti, inovasi dan bakat terpendam yang ada pada mereka. Tanpa membuang masa sebegitu sahaja, pelajar-pelajar terus memulakan program mereka.
Majlis dimulakan dengan menyambut ketibaan tetamu jemputan iaitu saudara Muhammad Faiz (Ketua SISWA AQ, Kaherah), saudara Muhammad Anas (Setiausaha SISWA AQ, Kaherah), saudari Syifa' (Timbalan Ketua SISWA AQ, Kaherah) dan saudari Nurul izzah (Biro Ekonomi SISWA AQ, Kaherah). Kesemua mereka adalah musyrif program jaulah PERGIM ke Sinai. Setelah itu, majlis diteruskan dengan solat Maghrib secara berjemaah di imamkan oleh saudara Muhammad Adeeb. Selesainya solat Maghrib, majlis kemudiannya diteruskan dengan tazkirah ringkas sambil menuggu ketibaan masuk waktu solat fardhu Isya'. Tazkirah tersebut diberikan oleh saudara Muhammad Amir Firdaus berkenaan dengan sifat-sifat orang munafik dan keburukan serta kemurkaan Allah terhadap orang-orang munafik. Terdapat 4 sifat orang munafik:
1. Apabila berkata-kata dia berdusta.
2. Apabila berjanji dia mungkiri.
3. Apabila diberi amanah dia khianati.
4. Apabila berbalah (perkara yang dia salah) dia tidak mahu mengalah.
Setibanya waktu solat fardhu Isya', majlis diteruskan dengan solat Isya' secara berjemaah sekali lagi di imamkan oleh saudara Muhammad Adeeb. Selepas selesainya solat Isya', majlis diteruskan dengan menyambut ketibaan tetamu VIP iaitu Ustaz Muhammad Ali Ghadaffy, merangkap ketua musyrif jaulah ke Sinai dan Ustaz lokman merangkap wakil AQ cawangan Kaherah. Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada wakil musyrif banin (Ust Muhammad Ali), Pengerusi PERGIM (saudara Muhammad Iqbal yang juga dikenali sebagai Abang Long), Koordinator program jaulah (saudara Dhiyauddin Athir), Ust Lokman, Syifa' dan Nurul Izzah (wakil musyrif banat). Satu ucapan yang ringkas dan padat telah diberikan oleh keempat-empat wakil tersebut.
Tetapi sebelum sempat giliran Pengerusi PERGIM untuk memberikan ucapannya, satu kekecohan telah berlaku kerana terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa ucapan yang akan diberikannya adalah berkenaan dengan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi PERGIM. Apakah berita yang bertiup kencang itu benar atau tidak? Penubuhan PERGIM ini adalah idea serta kesungguhan dari beliau sendiri dan secara formalnya, beliau jugalah sebagai "PENGASAS" PERGIM.
Ketika bermulanya ucapan tersebut, maka jatuhlah semua wajah ahli PERGIM ke bumi menutupi ketampanan dan kecantikan wajah masing-masing kerana menunjukkan kesedihan,kesayuan dan bantahan terhadap pengumuman perletakan jawatan tersebut. Wajahnya kelihatan sedih ketika ingin memberikan ucapan. Beliau hanyalah insan biasa seperti kita. Kehebatannya, kesungguhannya, semua itu datangnya dari Allah dan boleh ditarik nikmat tersebut pada bila-bila masa dan ketika.
Maka bermulalah ucapannya yang dimulai dengan puji-pujiannya kepadaNya dan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Ucapan tersebut disertai dengan luahan perasaan, ucapan terima kasih kepada mereka yang telah berusaha bersungguh-sungguh menjayakan program jaulah tersebut dan rasa kesyukuran kepada Allah kerana telah membantu menjayakan program jaulah ke Sinai yang hanya dirancang dalam masa tidak sampai 2 minggu serta beberapa keajaiban yang berlaku ketika berjalannya program jaulah tersebut. Semua yang berlaku adalah bantuan daripada Allah yang tidak disangka-sangka oleh kami. Ucapan tersebut diakhiri dengan serangkap pantun 4 kerat.
Rupa-rupanya segala berita mengenai perletakan jawatan dan mimik mukanya yang sedih ketika memberi ucapan hanyalah gimik yang telah dirancang rapi. Pelajar-pelajar amat bersyukur kerana berita perletakan jawatan tersebut hanyalah khabar angin semata-mata. Semua ini adalah untuk merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.
Setelah berakhirnya ucapan tersebut, majlis diteruskan dengan dengan tayangan slide show. Slide show tersebut telah ditayangkan oleh kedua-dua belah pihak iaitu pihak Banin (lelaki) dan pihak Banat (perempuan). Tayangan tersebut adalah berkenaan program jaulah PERGIM ke Sinai.
Setelah itu, majlis diteruskan dengan acara yang amat ditunggu-tunggu oleh semua pelajar dan tetamu-tetamu jemputan iaitu acara 'menikmati hidangan'. Kami dihidangkan dengan hidangan makan malam istimewa yang telah disediakan oleh Biro Makanan. Ketika makan malam, satu keajaiban telah berlaku dimana hampir semua yang ada disitu secara tiba-tiba mengeluarkan air mata. Ah! ini memang satu keajaiban yang tidak pernah dialami kami bersama-sama. Percikan air mata tersebut adalah kerana kelazatan dan kepedasan hidangan tersebut. Semua itu adalah rezeki dari Yang Maha Esa.
Selepas selesai makan malam, majlis kemudiannya dilangsungkan dengan acara penyampaian hadiah kepada kumpulan-kumpulan dan kepada wakil-wakil musyrif. Setelah habis acara penyampaian hadiah, maka berakhirlah majlis malam kesyukuran yang terpahat 1001 kenangan di dalamnya. pelajar-pelajar bersurai dan pulang ke kediaman masing-masing meredahi kesejukan malam di Hayyu 'Asyir.
0 Komen:
Catat Ulasan